Friday, June 10, 2005

TASMANIA dan Saudara Noryzal....

Oleh: Jufitri Joha Ar Rembawi.

Atas semangat untuk melahirkan sukarelawan muda yang adventurous dan tahan lasak, Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD)dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengorak langkah menghantar seorang sukarelawan muda ke Hobart, Tasmania iaitu satu wilayah di selatan Australia. Sukarelawan muda yang dimaksudkan itu ialah saudara Noryzal Zainal Abidin.

Tujuan penghantaran beliau ke sana adalah untuk membantu kerja-kerja khidmat sosial dan dakwah di sana bagi memastikan Nur Islam dan Rahmat Allah tersebar ke serata pelusuk alam maya ini tidak terkecuali Hobart. Usaha pemergian beliau ke sana mendapat kerjasama padu dari Global Peace Mission (GPM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Selain itu, program ini adalah dalam kerangka untuk mendedahkan sukarelawan muda ke dunia luar yang lebih lebih mencabar, menimba ilmu dan pengalaman serta memberikan peluang berkhidmat untuk masyarakat luar negara. Saudara Noryzal mendapat bimbingan secara langsung daripada Presiden ABIM sendiri iaitu Encik Ahmad Azam Abdul Rahman dan dari Regional Islamic Da’wah Council of Southeast Asia and the Pacific (RISEAP).


Saudara Noryzal, merupakan graduan jurusan ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) tahun 2003. Beliau yang merupakan anak jati Johor Bahru ini masih bujang dan baru sahaja mencecah umur 25 tahun pada bulan Januari yang lepas. Semasa di alam universiti dahulu beliau amat aktif dengan program-program khidmat sosial dan kemasyarakatan. Sebelum beliau berkhidmat di Hobart, beliau pernah berkhidmat sebagai imam dan aktivis sosial di Pulau Krismas, Australia hampir selama setahun.

Di Hobart, beliau memegang Temporary Resident Visa yang membenarkan beliau tinggal lama untuk berkhidmat di sana. Beliau bertindak menjadi imam masjid, membantu kerja-kerja landskap masjid yang baru dibina di sana di samping membuka kelas penghayatan agama kepada masyarakat Islam di sana. Bermula dengan hanya 9 pelajar, berkembang menjadi jumlahnya sekarang kepada 45 orang pelajar. Masyarakat Islam Australia memang dahagakan ilmu agama cuma masalahnya di sana menurut saudara Noryzal ialah masalah kekurangan Imam untuk membantu mereka memimpin masyarakat dalam masalah agama dan institusi masjid. Antara tempat dalam Australia yang memerlukan Imam adalah di Rockingham (Perth), Adelaide, Darwin, Townsville (Queensland) dan Alice Spring. Semua ini memerlukan imam muda yang sanggup berkhidmat selama setahun atau lebih dan mempunyai kemampuan untuk memimpin dan menyantuni masyarakat Islam di sana dengan baik dan berkesan.

Berikut disertakan sebuah coretan ringkas saudara Noryzal yang kini berada nun jauh di negeri orang:

”.............Sepanjang berada di Australia, saya fikir Tasmania merupakan daerah yang terindah jika ingin dibandingkan dengan daerah-daerah yang lain yang pernah saya kunjungi. Panoramanya yang mempesona dengan suasana persekitarannya yang nyaman, benar-benar menenangkan. Namun, kehadiran saya ke sini bukanlah untuk tujuan menilai keindahan pribuminya, tetapi meneruskan misi da’wah ke atas diri yang masih dalam usaha mencari diri sendiri. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Banyak yang saya baru pelajari sewaktu berada disini. Sememangnya Allah itu Ar Rahman dan Ar Rahim.

Saya mula menjejakkan kaki ke bumi Tasmania pada 1 Januari 2005, jam 8 pagi. Ketibaan saya disambut oleh Presiden Tasmanian Muslim Association (TMA), merangkap Imam masjid Hobart, Tn Hj Sabri Samson. Kali pertama saya bertemu dengannya sewaktu menghadiri persidangan AFIC sewaktu di Sydney. Beliau merupakan bekas pelajar sekolah Alam Shah dan berhijrah ke Tasmania sebagai pelajar. Dia merupakan pelajar yang terpilih sewaktu kerajaan melancarkan Colombo Plan untuk para pelajar dari Malaysia. Setelah menamatkan pengajiannya di peringkat sarjana, beliau terus bekerja menjadi guru sekolah di sini dan kini sudah pun bersara. Beliau berasal dari Sijangkang, Klang.

Setelah menetap dirumahnya selama 3 hari, saya menumpang selama sebulan di sebuah rumah penduduk tempatan yang bersebelahan dengan masjid. Keluarga tersebut berasal dari Sudan. Saya dikenalkan dengan seorang pelajar dari Malaysia yang mana menjadi teman rapat saya sepanjang saya berada disini dan dia merupakan Presiden MASCAR ( Malaysian Student Council of Australia ) . Saya kemudiannya berpindah ke sebuah bekas bilik operasi kontraktor binaan yang kemudiannya menjadi setor masjid. Setelah berada disitu selama sebulan, saya kemudiannya berpindah ke rumah sewa yang lebih selesa.

Perjalanan da’wah disini masih dalam peringkat awalan dimana tidak banyak yang dapat saya lakukan. Namun walaupun begitu, cabarannya tetap ada. Disini saya berhadapan dengan masyarakat yang berasal dari pelbagai latarbelakang dan mempunyai kefahaman agama yang pelbagai. Kali pertama saya diuji ketika ingin menyambut Ai’dil Adha dimana saya diminta untuk menyelesaikan masalah penetapan tarikh hari raya korban pada tahun ini. Sebenarnya, tarikh untuk menyambut Aidil Adha telah pun ditetapkan oleh Imam tempatan pada hari Jumaat, bersamaan 10 Zulhijjah. Namun disebabkan kerajaan Arab Saudi pula menetapkan hari Arafah pada 9 Zulhijjah, maka ada segelintir ahli masyarakat yang meminta supaya Imam tempatan mengubah tarikh mengikut keputusan kerajaan Arab Saudi.........”

Demikian secebis pengalaman menarik beliau di sana. Kita berharap agar lebih ramai anak muda mengikuti jejak langkah beliau yang sanggup berkorban dan berjuang di jalan Allah demi memastikan umat Nabi Muhammad S.A.W. ini merasai nikmat dan manisnya ajaran agama yang suci ini. Beliau bercita-cita untuk terus menetap di sana seperti mana yang dilakukan oleh pendakwah-pendakwah Islam sebelum ini yang menetap dan berkahwin dengan penduduk setempat demi memastikan ajaran Islam berkembang ke setiap inci tanah bumi Allah ini. Amin......

2 comments:

James Baker said...

A fantastic blog yours. Keep it up.
If you have a moment, please visit my tour Cambodia site.
I send you warm regards and wish you continued success.

Anonymous said...

What a great site » » »