Monday, October 22, 2007

Laporan Dari Werribee, Melbourne

Sabtu, 15 September 2007
Tiba di Tullamarine International Airport, Melbourne pada jam 6.00 pagi. Sedikit masalah dengan pihak imegresen Australia, namun semuanya berjalan dengan lancar, alhamdulillah.

Disambut oleh En. Omar Hallak (Pengetua Al-Taqwa College, Werribee), Tuan Hj.Salem Salikin (Pengerusi Khairat Melayu Islam Victoria), dan Abu Marwan, staf di Al-Taqwa College (TQ).

Kami dibawa ke Al-Taqwa College, kemudian terus ke tempat penginapan kami di 19, Ellesmere Way, Truganina, hanya lima minit dari TQ. Kami diberikan sebuah rumah yang cukup lengkap dan selesa dengan pelbagai kemudahan seperti mesin basuh, peti sejuk, dapur gas, dan sebagainya.

Pada jam 2.00 petang, kami dibawa ke TQ sekali lagi untuk melihat suasana kelas agama yang diadakan untuk orang-orang Melayu Islam yang diadakan pada setiap hari Sabtu. Terdapat kelas al-Quran untuk pelajar-pelajar bagi semua peringkat umur, dan kelas agama bagi golongan dewasa.

Kami berbuka puasa di TQ, bersama-sama para jemputan lain. Jamuan berbuka ditaja oleh seorang jemaah.
Tugasan harian kami sebagai imam tarawih bermula dengan kami menggantikan Syeikh Yusuf, Omar Kamal, dan Ishak sebagai imam tetap untuk solat tarawih.

Isnin, 17 September 2007
Kami pergi ke TQ untuk diperkenalkan dengan beberapa orang staf di sana seperti Pn. Rahany, pembantu peribadi En. Omar Hallak, En. Mustafa Yassin, En. Samih Aghbash, En. Abu Anas Sammak, En. Hussam Hallak, En. Muhammad Hallak, dan ramai lagi. Semuanya mengalu-alukan kedatangan kami.

Bertemu dengan Pn. Zahara Manaf yang lebih mesra dengan panggilan Aunty Zahara selepas solat tarawih. Hampir kesemua urusan kami di Melbourne ini dikendalikan oleh beliau tanpa keluhan dan rungutan walau sedikit pun. Beliau ibarat ibu bagi kami yang sedia memenuhi permintaan anak-anaknya tanpa banyak soal.

Jumaat, 21 September 2007
Pengetua TQ memberikan tiga orang pelajar kepada kami yang dilihat beliau berpotensi besar untuk dimajukan supaya kami berikan kursus al-Quran intensif selama dua minggu. Mereka ialah Emir Kosic, pelajar keturunan Bosnia, Haitham Hallak, dan Lu'ai.

Sabtu, 22 September 2007
Cuti sekolah bermula bagi seluruh Australia selama dua minggu.

Isnin, 24 September 2007
Kami berkenalan dengan Ustaz Saadon dan isteri beliau, Ustazah Rogayah. Mereka berdua merupakan pasangan guru agama yang giat memberikan kuliah agama kepada penduduk sekitar dan mempunyai beberapa anak murid yang setia, semuanya golongan dewasa.

Aunty Zahara mengaturkan kelas al-Quran bagi anak-anak kecil untuk kami ajar. Semua kanak-kanak yang kami ajar bukan orang Melayu kecuali Rizal, anak bongsu Pn. Zahara. Sambutan yang kami dapat agak memuaskan dengan hampir 10 orang menyertai kelas tersebut. Kelas ini berakhir sebaik sahaja Ramadhan berakhir.

Selasa, 2 Oktober 2007
Kami dibawa oleh Emir Kosic bersiar-siar di Melbourne City, bermula di Bottany Park, terus ke masjid kepunyaan Islamic Council di jantung Melbourne, Pantai St. Kilda, Williamstown, kemudian pulang ke Truganina.

Pada jam 1.30 pagi, kami dibawa oleh Emir dan abangnya Edin ke Melbourne untuk berqiam di sana. Malam tersebut ialah malam ke-21 Ramadhan. Bermula pada malam ini juga, TQ menganjurkan qiam dengan diketuai oleh En. Omar Kamal, salah seorang guru agama di sekolah.

Isnin, 8 Oktober 2007
Persekolahan bermula kembali. Saiful Islam dibawa ke Darul Ulum oleh En. Ahmad, seorang warga Singapura untuk melihat-lihat keadaan di sana.


Catatan:
Sepanjang kami berada di sini, jadual harian agak ketat dengan dua sesi kelas al-Quran, pagi dan petang. Kami dijemput berbuka puasa di banyak tempat, ada yang Melayu, tetapi kebanyakkannya Arab. Sepanjang tiga minggu berpuasa, hampir kesemua iftar diadakan di sekolah dengan ditaja oleh para jemaah dan sebagai imam yang dijemput khas, kami tidak boleh menguzurkan diri dari iftar di TQ walaupun kadang-kadang ada orang lain menjemput kami datang ke rumah.
Kami tidak dapat memberikan laporan dari semasa ke semasa kerana akses internet yang sangat terbatas.

Ahmad Hamzah Mat Daud
Saiful Islam Mohamad Naser