Thursday, April 28, 2005

Delegasi ke Phuket Selamat Tiba

Image Hosted by ImageShack.us

Tanggal 13hb April hingga 21hb April yang lalu, Kem Bahasa Melayu telah diadakan di Kampung Borea, Phuket, Thailand. Program ini adalah hasil usaha penduduk kampung dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) dan Grup Pengkaji Tamadun Dunia(GPTD). Program ini disertai oleh enam orang aktivis GPTD dan dua orang staf ABIM; Mohd Shakir Fahmi Fakhrulrazi selaku ketua kumpulan, Ainul Syahidah Abdul Aziz, Mohd Faisal Maksom, Raja Nurbaizura Raja Ibrahim, Bibi Rohana Mohamed Shah, Mohd Nadmin Ramlan, Muhammad Sukri Mustafa dan Mohd Akhmal Mohd Noor.

Peserta Kem Bahasa Melayu ini disertai oleh anak-anak penduduk Kampung Borea dan kawasan berdekatan. Program bermula pada 16hb April. Tiga hari iaitu dari 13hb April sehingga 15hb April dipenuhi dengan perbincangan bersama penduduk kampung, beramah mesra dan mengkaji kehidupan orang Melayu di Phuket. Cabaran awal yang perlu ditempuhi ialah masalah komunikasi. Kebanyakan penduduk Melayu di sini tidak mahir bertutur dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggerís. Manakala kami pula tidak pandai bertutur dalam Bahasa Thailand. Namun semua ini dapat diatasi sedikit demi sedikit.

Kem Bahasa Melayu bermula secara rasmi pada 16hb April. Seramai 23 orang telah mendaftarkan diri. Mereka berumur sekitar 13 hingga 19 tahun. Mereka telah dibahagikan kepada dua kelas bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran. Pada sebelah pagi, peserta belajar secara formal di dalam kelas. Selepas waktu Zohor, pembelajaran diteruskan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang menarik bagi mengukuhkan penguasaan Bahasa Melayu mereka. Selepas Asar, program diteruskan dengan aktiviti riadah. Ulangkaji diadakan pada waktu malam sebaik selesai solat Isyak. Selain mengajar Bahasa Melayu, kami secara tidak langsung turut mempelajari Bahasa Thailand.

Alhamdulillah walaupun cuma lima hari, peserta Kem Bahasa Melayu ini, dapat menguasai dengan baik apa yang kami ajarkan. Perkara asas dalam pertuturan seharian seperti bertanya khabar, berkenalan, dan memperkenalkan diri dapat mereka fahami Masa yang lebih panjang diperlukan agar mereka dapat bertutur dengan fasih dalam Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka.

Program ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan awal Bahasa Melayu kepada peserta khasnya dan penduduk kampung amnya. Program susulan yang lebih berkesan akan disusun bagi memastikan generasi muda Melayu di Phuket, tidak melupakan Bahasa Melayu.

CLICK HERE FOR MORE PICTURES