Sunday, June 15, 2008

Rombongan Pulau Kokos


GOMBAK, 10 Jun - Seramai 3 orang wakil penduduk Pulau Kokos, Australia telah mengunjungi GPTD untuk membincangkan beberapa isu berkaitan perkembangan terkini masyarakat Melayu di sana.

Rombongan yang diketuai oleh Hj. Adam, Imam merangkap Majistret Pulau Kokos ini sempat menemui pengasas GPTD, Tn Hj Ahmad Azam Abdul Rahman yang pernah mereka temui sebelum ini untuk projek pertama Pulau Kokos pada tahun 2005.

Dalam pertemuan itu, pengasas turut menyatakan kebimbangan terhadap Pulau Kokos atas isu pemanasan global yang telah menenggelamkan sebahagian Pulau Kiribati. Selain itu, kami dimaklumkan bahawa sumber ekonomi Pulau Kokos kini dalam keadaan kritikal akibat kelapa-kelapa tua yang terlalu banyak dan tidak dapat diusahakan untuk penghasilan produk lain.

Mereka menawarkan mana-mana pihak yang ingin menghasilkan sebarang produk berasaskan kelapa untuk menghubungi mereka. Masyarakat Melayu Pulau Kokos yang terdiri daripada 500 orang ini juga memohon sumbangan daripada mana-mana pihak untuk pembinaan masjid baru.

Kedatangan mereka ke Malaysia sehingga 30 Jun 2008 ini bertujuan mengikuti kursus-kursus pengurusan jenazah dan kemahiran fardhu ain. Memandangkan lokasi geografi Pulau Kokos yang begitu jauh daripada negara-negara lain, mereka kekurangan sumber ilmu untuk pemantapan pemahaman agama dan terpaksa menziarahi negara Islam lain bagi tujuan itu.

Dalam pertemuan itu, GPTD juga telah bersetuju untuk menghantar sukarelawan GPTD secara berkala bagi membantu masyarakat Melayu di sana dalam bidang pendidikan dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan.

Wednesday, June 11, 2008

Kembara Berakhir



Cordova, Sepanyol - 8 Jun 2008 / 3 Jamadilawal 1428 H. Misi di Andalus berakhir di Kota Ilmu Cordova. Kota Cordova menyaksikan lahirnya ribuan ilmuan Islam mahupun yang bukan Islam seperti pemuka Ilmu Yahudi iaitu Maimun (Lihat Penulis Bergambar di Patung Maimun). Namun sayang sehingga kini Kota Cordova sunyi dari aktiviti keilmuan dan masih tinggal tersergam megah ialah Masjid Cordova yang telah bertukar menjadi gereja! InsyaAllah berkesempatan, saya akan menulis artikel berkaitan dengan Andalus namun bukan lagi Andalus Menangis tetapi Andalus Kami Datang!




Nantikan kembara saya di India bersama Taj Mahal, Empayar Mughal dan Lucknow. InsyaAllah satu jaringan baru untuk GPTD akan diterokai.

Jufitri Joha
Pengerusi GPTD
Dubai, UAE

Saturday, June 07, 2008

Hembusan Kota Granada, Sepanyol



Granada, Sepanyol - 7 Jun 2008 / 2 Jamadilawal 1428 H. Saya telah pun berada di Kota Granada selepas melintasi Selat Gibraltar (Jabal Tariq Ziad (Lihat Gambar di bawah)) dari Maghribi.



Saya dan rakan-rakan berjaya menemui beberapa barang-barang bersejarah berkaitan dengan Tamadun Islam Andalus. Granada merupakan Kota Islam terakhir di Sepanyol jatuh ke tangan Kristian. Di kota ini juga bersemadi dua tokoh Kristian yang bertanggungjawab merampas Granada daripada Umat Islam iaitu Ratu Isabella dan Ferdinand.Mereka dikuburkan dalam sebuah gereja besar.

Saya juga berkesempatan mengunjungi Pusat Islam dan Masjid Granada dan membuat perbincangan dua hala bersama Imam Masjid Granada iaitu Sheikh Muhammad Kasbi supaya dapat menjalinkan kerjasama antara Belia Muslim Malaysia melalui ABIM dan GPTD dengan Belia Muslim Sepanyol. Beliau ternyata amat gembira dan masih mengenali saya ketika kunjungan pertama pada 2005

Selepas melawat dan membuat catatan di Alhambra, saya tertanya-tanya ke manakah perginya kubur-kubur ulama-ulama hebat yang pernah lahir di Granada seperti Imam Shatibi dan lain-lain? Begitu juga di Cordoba yang telah melahirkan ratusan pemuka ilmu seperti Ibn Rusyd,Imam Qurthubi dan lain-lain. Mungkin kita boleh menjawabnya sendiri.

Sebelum masuk ke Sepanyol iaitu di Maghribi beberapa hari lepas, saya dan rakan-rakan sempat menemui T.Y.T Duta Malaysia di Maghribi Encik Othman Samin yang banyak membantu menjayakan misi kali ini. Beliau merupakan rakan baik Cikgu Sidek Baba.Tidak ketinggalan menemui Dr Driss Bouanou, Pengarah Pergerakan Belia Adalah wa Tanmiyyah Maghribi membincangkan juga kerjasama dua hala yang boleh dilakukan secara bersama antara GPTD, ABIM dan Belia Islam Maghribi.

Sekembalinya dari Sepanyol Isnin ini, InsyaAllah saya akan membuat pertemuan dengan Pelajar Malaysia di Rabat Mahgribi bagi menaikkan semangat mereka untuk terus cemerlang dalam belajar dalam masa yang sama mengingatkan peranan mereka untuk menyumbang bakti kepada Agama Allah. Di Maghribi ada lebih kurang 100 lebih pelajar Malaysia yang sedang menuntut khususnya dalam bidang agama.

Terakhir apabila transit di Dubai pada 11 Jun 2008 / 6 Jamadilawal 1428 H selama 8 jam, saya akan mengambil peluang untuk bertemu dengan Saudara Hasnol, Setiausaha Agung Asian Federation of Muslim Youth (AFMY) bagi meningkatkan hubungan dua hala ABIM dan AFMY.

Sekian dari Kota Gharnatah @ Granada

Friday, June 06, 2008

Peluang terbaik untuk ahli GPTD


Ini adalah peluang terbaik kepada semua rakan-rakan terutama kepada mereka yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tugas duta biasanya mempromosikan negaranya kepada orang luar. Segala informasi berkaitan negara dimaklumkan kepada pengunjung. Informasi diberikan bertujuan memberi kefahaman kepada mereka selain mengelak sebarang konflik akibat salah tanggapan mengenai negara tersebut.



Begitu jugalah dengan Kedutaan Islam. Kami memerlukan ramai duta untuk menerangkan Islam kepada pengunjung. Para pelancong seluruh dunia sering mengunjungi kedutaan kita di Malaysia. Mereka biasanya disaji dengan informasi berkenaan struktur bangunan dan sejarah.
Sayang sekali apabila mereka ke masjid (Kedutaan Islam) tetapi tidak diterangkan tentang indahnya Islam. Salah faham yang dimainkan media massa menyebabkan Islam sering dipandang serong seperti pengganas.

Mengapa tidak kita menjadi duta untuk merapatkan jurang persaudaraan sesama manusia?

Dengan ini saya menyeru kepada semua untuk menjadi duta kepada Kedutaan Islam di Malaysia. Tiada had umur dan pencapaian akademik. Latihan disediakan. Jadual waktu anjal.
Sila sebarkan maklumat ini.

p/s: Sesiapa yang ingin menyalin entry ini untuk dimuatkan di mana-mana laman adalah dialu-alukan

Wednesday, June 04, 2008

Motivasi di Kuching, Sarawak



Kuching, Sarawak – Baru – baru ini saudara Jufitri Joha, Pengerusi GPTD telah memenuhi undangan Biro Perkhidmatan Pendidikan (BPP), Majlis Agama Islam Sarawak untuk mengisi Slot Motivasi : Hala Tuju dan Matlamat Pelajar Islam. Peserta terdiri daripada wakil 5 buah sekolah yang mempunyai potensi besar untuk berjaya di masa hadapan. Program Pewaris 2008 ini telah diadakan di Pusat Latihan Islam JAKIM di Telaga Air, Kuching Sarawak. Penggerak fasilitator terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis).

Alhamdulillah Pihak BPP telah berpuas hati dengan ceramah yang disampaikan oleh Pengerusi GPTD dan berhasrat untuk menjemput beliau mengisi slot dalam program-program BPP pada masa hadapan.

Saudara Jufitri Joha juga sempat mengisi slot bersama pimpinan Perkepis dan bertemu dengan Ustaz Hasfa, Timbalan Yang Dipertua ABIM Sarawak berbincang berkenaan perkembangan belia dan dakwah di Sarawak.

Khabar dari Casablanca, Maghribi



Alhamdulillah saya telah sampai ke Casablanca, Maghribi atau Morocco dalam misi untuk masuk ke Sepanyol bagi mencari bahan-bahan bersejarah tamadun Islam Andalus. Ini adalah misi GPTD dalam membantu sebuah syarikat mencari bahan-bahan bersejarah tersebut.

Sebentar lagi saya dan rakan-rakan akan mengembara ke utara menaiki keretapi sebelum memasuki Sepanyol melintasi Selat Gibraltar. Untuk melintasi Selat Gibraltar (Gunung Tariq ibn Ziad) kami akan menaiki feri sebelum sampai ke Kota Granada dan Cordoba yang dikenali sebagai Andalus. Andalus pernah gemilang di bawah Kerajaan Islam selama 800 tahun sebelum tumbang pada 1492 Masihi.

Di Maghribi, juga tidak kurang hebat peninggalan Tamadun Islam terutamanya Kota Fez,Casablanca (Rumah Putih), Rabat dan Marrakesh. Di Kota Fez lahirnya Muhaddith (Pakar Hadis) Sheikh Abdullah Siddiq Al-Ghumari. Selain itu Kota Fez juga merupakan tempat lahirnya Kerajaan Islam pertama di Maghribi. Di Rabat, lahir seorang ilmuwan Islam iaitu Dr. Faroq Hamadah yang pernah datang ke Malaysia tahun lepas sempena Seminar Ahlus Sunnah yang berlangsung di Pahang.Di Maghribi juga lahir dua kerajaan Islam agung iaitu Kerajaan Murabitun dan Muwahhidun.

Selain itu Maghribi merupakan tempat kelahiran Ibn Batuttah, Pengembara Islam terkenal di dunia. InsyaAllah jika berkesempatan kami akan melawat ke maqam Ibn Batuttah di Tangier yang juga merupakan tempat kelahiran Ibn Batuttah. Namun ada setengah riwayat mengatakan bahawa maqam Ibn Batuttah terletak di kawasan sekitar Marakkesh ke bawah. Namun saya yakin pada pepatah Arab, :" Iza Qasadta Wajadta!" yang membawa maksud jika kita rasa yakin maqam Ibn Batuttah terletak di Tangier maka kita akan mendapati di situlah maqam beliau.

Satu ketika dahulu,GPTD mempunyai Grup Maghribi-Perancis namun tidak berjaya kerana kurangnya komitmen bersungguh-sungguh dari grup tersebut. InsyaAllah kali ini kita akan serahkan usaha ini pada Kelab Ibn Batuttah yang baru sahaja menyelesaikan misi menjejaki Ibn Batuttah di Pasai, Indonesia agar meneruskan usaha menjejaki peninggalan Ibn Batuttah di tanahair beliau di Maghribi ini. Krew Jejak Rasul Tv3 baru sahaja menyelesaikan penggambaran jejak Ibn Batuttah di sini. Mungkin Kelab Ibn Batuttah boleh berhubung terus dengan Jejak Rasul bagi berkongsi kajian dan dokumentari yang dibuat oleh mereka. InsyaAllah saya akan turut sama membantu untuk menjayakan hasrat ini.

Mr. Ovidio Salazar dari UK yang pernah datang ke Malaysia baru-baru ini atas undangan Islamic Outreach ABIM untuk program tayangan dokumentari Imam Ghazali juga pernah menghasilkan dokumentari Ibn Batuttah yang boleh dimanfaatkan oleh Kelab Ibn Batuttah.

Sekian,

JUFITRI JOHA
Pengerusi GPTD
Casablanca, Maghribi

Monday, June 02, 2008

Terkini Dari GPTD

Separuh kedua bagi tahun 2008, GPTD diteruskan lagi dengan beberapa projek luar negara.

Grup Sri Lanka baru-baru ini telah bertemu dengan Y.Bhg. Datuk Iskandar Sarudin, bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka. Beliau yang juga kini Timbalan Ketua Setiausaha III, Kementerian Luar Negeri, telah banyak membantu dalam projek pertama GPTD ke Sri Lanka. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Sdr. Najmuddin Mohd Nawi, Ketua Penyelaras GPTD dan Sdr. Ahmad, seorang pelajar yang berketurunan Melayu Sri Lanka.

GPTD Sri Lanka diketuai oleh Sdri. Ain Najwa Badrul Amin serta dianggotai oleh 7 orang sukarelawan yang lain. Kesemua mereka kini menuntut di UIAM.

Pihak GPTD ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Y.Bhg. Datuk dan isteri yang memberikan sokongan dan bimbingan dalam projek kedua ke Sri Lanka. Beliau juga telah bersetuju untuk menjadi Penaung bagi projek ini.

Tahniah diucapkan kepada grup Sri Lanka di atas persetujuan tersebut. Diharapkan agar ruang dan peluang yang ada dapat dimanfaatkan bagi memantapkan lagi gerak kerja grup Sri Lanka.

Pada 9 Jun 2008, GPTD akan menghantar dua orang sukarelawan bagi projek imam muda ke Pulau Krismas selama 3 bulan. Projek ini merupakan kesinambungan bagi projek GPTD terdahlu.

Dua orang sukarelawan tersebut ialah Sdr. Saiful Islam Mohamad Naser dan Sdr. Mohammad Aizat Mohamed Radzi. Sdr. Saiful merupakan bekas pelajar Darul Quran JAKIM, manakala Sdr. Aizat merupakan bekas pelajar Kolej Jaipetra, Kelantan.

Satu lagi projek GPTD ke luar negara adalah projek Kajian Tokoh dan Khidmat Sosial ke Maninjau, Sumatera, Indonesia. Projek ini digerakkan oleh alumni peserta Kem SAKTI 2 melalui grup mereka, Malaysian Youth Global Traveller (MYGT).

Mereka dijangka berlepas ke Maninjau pada bulan Disember tahun ini.

Selain itu, Pengerusi GPTD turut membantu Taman Tamadun Islam Terengganu dalam mendapatkan artifak dan bahan-bahan bagi galeri pameran di sana. Sebelum ini Sdr. Suhail telah membantu bagi mendapatkan bahan-bahan dari Palestin.

Pengerusi GPTD akan membantu bagi mendapatkan bahan-bahan dari Sepanyol dan India.

Selain daripada projek-projek yang dinyatakan di atas, banyak lagi projek yang akan digerakkan oleh GPTD di dalam dan luar negara termasuklah pada tahun hadapan.

Sehubungan dengan itu, GPTD mempelawa semua individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan bagi menggerakkan projek-projek GPTD. Kursus, bimbingan serta latihan akan diberikan bagi memastikan para sukarelawan dapat menggerakkan projek-projek GPTD dengan berkesan.

Monday, May 26, 2008

Tragedi Nakba Apa Kudrat Kita?



Oleh : Jufitri Joha - Pengerusi GPTD

Arus dan tarikan materialisme semasa menjadikan orang sekarang terlalu mementingkan diri sendiri dan hilangnya sikap kepedulian sosial. Sedangkan semangat kepedulian sosial sudah lama diperjuangkan oleh Islam terutamanya melibat nasib umat Islam seperti yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani bahawa Nabi sallallahualaihi wasallam bersabda : “ Sesiapa yang tidak mengambil berat nasib dan hal ehwal umat Islam, maka mereka bukanlah di kalangan umat Islam tersebut”.

Ungkapan Nabi sallallahualaihi wasallam ini jelas menuntut sikap kepedulian sosial yang tinggi terhadap apa yang berlaku di sekeliling halaman umat Islam. Sudah tentu tidak terlepas nasib umat Islam Palestin yang terjajah di tanahair sendiri.

15 Mei yang lepas genap 60 tahun, Palestin diduduki dan dijajah oleh Israel. Mengenang sejarah 15 Mei 1948 meninggal kesan luka mendalam terhadap hati nurani umat Islam Palestin. Pada tanggal tersebut berlakunya peristiwa Nakba iaitu peristiwa malapetaka di mana Israel melancarkan pembersihan etnik iaitu sejumlah 750 000 orang atau tiga perempat populasi daripada rakyat Palestin dihalau keluar dari kediaman mereka. Hari Nakba merupakan rentetan berdarah daripada peristiwa Deir Yassin di mana pasukan komando Israel yang diketuai Menachem Begin menyerang dan merampas kampung Deir Yassin yang dihuni oleh 750 orang rakyat Palestin pada 9 April 1948.

Terbaru seperti yang dilaporkan oleh harian Haaretz.com, Israel melalui dutanya ke PBB telah membantah penggunaan perkataan Nakba yang digunakan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki Moon dalam kenyataan rasmi beliau baru-baru ini. Petikan dalam Haaretz.com seperti berikut;

“The Israeli mission to the United Nations is seeking clarifications after an official communique released by Secretary-General Ban Ki-Moon's bureau made specific reference to the word "Nakba," according to a report broadcast on Israel Radio early Friday morning. The report said the UN chief telephoned the Palestinian President Mahmoud Abbas to express his solidarity with the Palestinians on the day they mark the "Nakba," the Arabic word meaning "Catastrophe" that is used in reference to the founding of the state of Israel.
Danny Carmon, Israel's deputy ambassador to the UN, told Israel Radio that the term " 'Nakba' is a tool of Arab propaganda used to undermine the legitimacy of the establishment of the State of Israel, and it must not be part of the lexicon of the UN."
Ini menjelaskan sikap sebenar Israel yang menganggap segala kezaliman yang mereka lakukan ke atas Palestin adalah satu perjuangan murni yang tiada salahnya hatta dari aspek kemanusiaan.
Sedangkan ianya terang – terang melanggar hak asasi manusia dan yang menjadi perhatian utama kita adalah golongan yang lemah seperti kanak dan wanita turut mendapat tempias kerakusan Israel. Dalam muqaddimah buku Children Under Occupation karangan Ibrahim Abu Al-Hayja menjelaskan bahawa Israel tidak mengira siapa termasuk kanak-kanak akan diperanginya jika ia adalah bangsa yang dimusuhinya. Ini bermakna kanak-kanak Palestin juga tidak terlepas dari penderaan, penganiayaan, penahanan dan apa jua bentuk keganasan.
Paling menyedihkan bila kita mendapat berita Parlimen Australia melalui Perdana Menterinya Ruud Griffith membawa mosi atau usul ke dalam parlimen agar merayakan dan merakamkan penghargaan terhadap pencapaian negara Israel merayakan ulangtahun ke 60 penubuhan negara haram tersebut yang bagi umat Islam ini merupakan Nakba atau malapetaka besar atas dunia Islam.
Justeru apakah kudrat kita untuk sekurang-kurangnya menjadi sebahagian daripada role player bagi meringankan beban saudara seagama kita di Palestin? Di sinilah pentingnya untuk kita sama – sama menggabungkan diri dalam pertubuhan yang secara kolektif memperjuangkan isu ini.
ABIM sejak zaman penubuhannya amat konsisten dengan nasib umat Islam di Palestin begitu juga keprihatinan yang tinggi disuarakan oleh pimpinan ABIM Pusat bagi sama-sama menyinsing lengan bersama pertubuhan masyarakat madani lain (Ngo) menyemarakkan hari Nakba ini.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Kebangsaan Memperingati Nakba 60 Tahun dianggotai oleh ABIM, Citizen International , Teras , Al Quds Malaysia, JIM, PUM, ISMA, PKPIM dan Gamis menggesa pihak majlis keselamatan PBB mengadaptasikan resolusi di dalam Piagam, Bab 7 seperti berikut:

• Mendesak Israel supaya menarik balik keputusan Kabinet untuk mengisytiharkan Gaza sebagai kawasan hitam dan tidak campur tangan dalam pembekalan makanan, elektrik, air dan minyak kepada penduduk Gaza;
• Mendesak Israel untuk menarik balik sekatan ekonomi terhadap kawasan takluk Palestin, menamatkan pengepungan Gaza, dan juga melaksanakan segala yang dicadangkan mahkamah antarabangsa;
• Meminta Israel menghentikan semua pembinaan penempatan dan perkembangan aktiviti di kawasan takluk Palestin dengan serta-merta;
• Menyeru semua pihak untuk menghentikan serta-merta aktiviti ketenteraan dan semua kekejaman, keganasan, provokasi, penghasutan dan kemusnahan antara Israel dan Palestin. Ini juga membabitkan pengeboman, sekatan udara serta serangan peluru berpandu terhadap masyarakat setempat;
• Menyeru Israel supaya lebih prihatin sesuai dengan tanggungjawab mereka di bawah Persidangan Geneva berhubung dengan Perlindungan penduduk di dalam zon peperangan pada 12 Ogos 1949 di kawasan takluk bahagian timur Baitulmaqdis;
• Menyeru Israel mematuhi segala peruntukan undang-undang seperti yang digesa oleh mahkamah antarabangsa, dan
• Menyeru Israel untuk memastikan supaya segala organisasi bantuan perubatan dan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang sekatan kepada rakyat Palestin pada setiap masa. Bantuan kecemasan juga perlu dititik beratkan dengan membenarkan mangsa yang mengalami kecederaan serius segera dibawa keluar dari kawasan takluk untuk menerima rawatan.
Selain itu, juga ABIM bergerak aktif menggerakkan Rabithah Syabab Muassasah Al Quds untuk mewujudkan kesedaran berkenaan Hari Nakba seperti ceramah kesedaran, himpunan solidariti mahasiswa dan belia, penyampaian maklumat melalui khutbah Jumaat, bengkel melobi isu Palestin dan lain-lain.