Thursday, July 31, 2008

Pengerusi GPTD Di Sana Sini 3



Pengalaman yang saya timba semasa Eksplorasi Sepanyol-Amerika Latin pada tahun 2005 menyebabkan saya terus bertekad untuk bekerja keras menyebarkan Rahmat Allah atau dalam kata lain berdakwah menyebarkan kesedaran beragama dan berbangga dengan Islam.

Sudah tentu Eksplorasi Sepanyol tersebut bertujuan melihat keagungan peninggalan Tamadun Islam. Selain itu ia bertujuan mempelajari sejarah jatuh bangun sesebuah tamadun dengan memfokuskan faktor-faktor kejatuhan. Ia dihayati dalam konteks belia agar faktor-faktor kejatuhan tersebut tidak diulangi oleh belia di Malaysia. Benarlah seperti kata-kata George Santayana dalam The Life of Reason, “Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.” Inilah yang membuat saya harus terus berjuang membuka kelopak mata setiap belia dan remaja berkenaan hal ini.

Melalui experiential learning ini, saya berusaha untuk berkongsi berkenaan perkara ini kepada para belia dan remaja di Malaysia melalui pendekatan dan penyampaian yang menarik kerana subjek Sejarah dan Ketamadunan ini semakin terhakis minat belia dan remaja terhadap dua subjek ini. Sedangkan ianya satu madah yang amat bernilai untuk panduan belia dan remaja. Semoga pendekatan baru dalam mendekatkan belia dan remaja kepada Sejarah dan Ketamadunan ini mampu membuatkan mereka belajar sesuatu yang berharga daripadanya seperti kata George Bernard Shaw, “Hegel was right when he said that we learn from history that man can never learn anything from history......”

Sambungannya di http://gptd-spain.blogspot.com

Tuesday, July 29, 2008

Amerika Latin : Benua Penuh Misteri



Ketika projek sulung Grup Pengkaji Tamadun Dunia diilhamkan pada 2001, pakej Sepanyol dan Amerika Latin telah diintegrasikan dalam satu projek. Ini memandangkan Sepanyol merupakan bekas penjajah bagi negara-negara Amerila Latin yang sudah tentu mempunyai kaitan rapat dari segi sejarah dan kebudayaan. Hampir semua negara Amerika Latin menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi kecuali Brazil yang menggunakan bahasa Portugis.

Sepanyol pernah menjadi pusat kecemerlangan Tamadun Islam yang menjadi asas kepada kebangkitan Sepanyol moden dan benua Eropah secara keseluruhan sehingga Jose Luis Rodriquez Zapatero, Perdana Menteri Sepanyol mengiktiraf sumbangan Tamadun Islam kepada Sepanyol setelah dinafikan oleh pemerintahan secara tersusun sebelum ini. Dalam masa yang sama Sepanyol pernah menjadi adi kuasa penjajah apabila bersaing dengan Portugal yang juga pernah menjadi sebahagian Tamadun Islam Andalus.

Projek sulung yang diilhamkan oleh Saudara Ahmad Azam Abdul Rahman, Pengasas GPTD ini amat tepat apabila menamakannya sebagai Eksplorasi Sepanyol – Amerika Latin. Setelah melalui beberapa fasa termasuk melaksanakan fasa kedua di Sepanyol kini tiba untuk memasuki fasa ketiga di benua Amerika Latin. Sudah tentu fasa ketiga ini lebih kepada mengkaji budaya masyarakat Amerika Latin khususnya di Cuba dan Venezuela serta meninjau ruang khidmat sosial di sana disamping melebarkan jaringan belia dan dakwah Islam di sana.

Bagi meneruskan kesinambungan tersebut, saudara Jufitri bin Joha, Pengerusi GPTD telah menghadiri Persidangan : “Venezuela:A Window to International Dialogue” yang dibarisi oleh T.Y.T. Manuel Antionio Guzman Hernandez;Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Ms. Zhaybel Cardenas;Atache Media Kedutaan Venezuela di Malaysia, Mina Haymara Perez Carrillo; Editor Laman Sesawang Pergerakan Negara – Negara Berkecuali (NAM) dalam Bahasa Sepanyol dan Dato’ Ahmad Mokhtar Selat; Bekas Duta Besar Malaysia ke Venezuela dan Peru.

Tujuan persidangan ini adalah untuk mengeratkan hubungan “people to people’ antara Malaysia dengan Venezuela, memahami perbezaan budaya serta mengenali Venezuela lebih dekat sebagai pengeluar minyak terbesar di luar Negara Teluk.

Kita jarang mendengar tentang berita dari sebelah benua ini. Ini turut diakui oleh Dr. Farish A. Noor dari Universiti Singapura yang menyatakan dua benua yang jarang dikenali secara rapat iaitu Afrika dan Amerika Latin. Moleklah, Venezuela dijadikan jendela bagi mengenali Amerika Latin dengan lebih dekat.

Thursday, July 24, 2008

Usrah an-Nur dan Kelas Bahasa Turki


Assalamualaikum Wrh. Wbt.

Sukacita dimaklumkan, Kelab Badiuzzaman – GPTD Turki dengan kerjasama Yayasan Hayrat Ne┼čriyat akan memulakan Kelas Bahasa Turki dan Usrah an-Nur.

Kelas bahasa Turki disasarkan kepada golongan pelajar dari 16 hingga 25 tahun. Kelas ini akan diadakan sekerap 2 minggu sekali. Kelas dijangka bermula pada pertengahan bulan Ogos 2008.

Yuran pendaftaran bagi kelas ini adalah percuma bagi mereka yang mendaftar sebelum 13 Ogos 2008.

Usrah an-Nur pula, akan membicarakan kitab Risalah an-Nur karangan Syeikh Badiuzzaman Said an-Nursi. Usrah ini terbuka kepada semua yang berminat untuk mengikuti kupasan kitab ini. Dijadualkan pada setiap Rabu selepas solat Maghrib, Usrah an-Nur dijadualkan bermula pada 6 Ogos 2008. Usrah ini akan dijalankan dalam bahasa Melayu.

Kedua-dua aktiviti ini akan diadakan di Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak, 53100 Gombak, Kuala Lumpur (bersebelahan Rumah Pak Ali).

Kepada yang berminat, sila sertakan nama, e-mel dan nombor perhubungan kepada Sdr. Najmuddin di najm29@yahoo.com
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat GPTD di talian 016 – 323 5700.

Wednesday, July 23, 2008

Program GPTD Eropah

Friday, July 04, 2008

Kem Belia ASEAN - China 2008

Alhamdulillahirabbilla’lameen, Sesungguhnya segala puji-pujian selayaknya hanya untuk Allah Rabbul Jamil. Hanya dengan keizinanNya jua lah peluang diberikan untuk mengikuti rombongan jemputan kerajaan Negara China dapat dipenuhi dengan keadaan selamat sebelum, semasa dan selepas program dilaksanakan.

Pada 18 – 25 Jun 2008, pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah menerima jemputan dari All China Youth Federation untuk mengikuti Program “The 2008 China-ASEAN Youth Camp”. Ianya bertempat di Nanning, Qinzhou, Beihai dan Guangzhou di China.

Program ini berlangsung selama 7 hari 6 malam. Seramai 18 orang delegasi mewakili Malaysia telah mengikuti program ini.

18 orang peserta ini pula telah dibahagikan kepada 4 kategori iaitu pegawai belia, usahawan, artis dan pelajar.

Sdr. Noryzal Zainal Abidin merupakan aktivis GPTD yang mewakili ABIM yang turut terpilih mengikuti rombongan tersebut sebagai wakil pegawai belia.

Mengikut kacamata pihak penganjur, program ini adalah bertujuan :-
• Untuk menimbulkan kesedaran dan menanam semangat sukarelawan dikalangan belia
• Untuk meluaskan hubungan di antara remaja ASEAN dan republik China
• Untuk mengukuhkan hubungan dari segi politik, ekonomi dan sosial di antara China and ASEAN

Program ini bermula dengan idea asal dari Perdana Menteri China, Wen Jiabao pada Mesyuarat Pemimpin China-ASEAN yang ke-10 dimana belia telah mencadangkan untuk menjemput 1000 belia dari Negara ASEAN untuk melawat Republik China dalam masa 5 tahun.

Program yang bermatlamatkan agar perhubungan yang terjalin terus dapat dieratkan lagi, juga dapat memberi pandangan serta pendapat dalam melahirkan masyarakat cemerlang.

Bagi mencapai matlamat tersebut, setiap individu mesti ada sifat hormat menghormati serta ringan tulang dalam menjalankan kerja-kerja amal agar dapat membentuk peribadi murni dalam diri setiap individu.

Persepakatan antara negara satu dengan lain hanya akan wujud bilamana adanya komunikasi dan hubungan erat diantara dua pihak.

Pendekatan tertentu perlu ada bagi menarik minat masyarakat bersama-sama dalam memerangi dan membendung dari merebaknya masalah sosial dikalangan belia-belia serata ASEAN.

Para peserta telah dibawa menziarahi beberapa tempat iaitu Guangxi Zhuang, Nanning, Fangchenggang, Beihai dan Guangzhou.

Peserta dibawa untuk melawat Zon Pembangunan Perindustrian Berteknologi Tinggi, Zon Ekonomi & Perdagangan, Pelabuhan, Stesyen Janakuasa Elektrik, Kompleks Universiti, Pusat Pemulihan Air, Istana Kanak-kanak, Pejabat Pengurusan Lebuhraya, Bank of China, Taman Pertanian Moden, Muzeum dan Kawasan Tanaman Semula Pokok Bakau.

Secara keseluruhannya, kesemua peserta didedahkan dengan pelbagai peluang yang terdapat di Negara China terutamanya didalam bidang ekonomi dan keusahawanan.

Seperti yang dimaklumi, Negara China merupakan salah satu Negara yang amat pesat membangun dengan kadar pelaburan asing yang begitu tinggi diatas kelebihannya menawarkan kos pengeluaran yang paling kompetitif.

China mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan lagi wilayah ekonomi yang baru dibuka agar mampu menarik lebih ramai pelabur asing.

Kesan dari pembangunan pesat Negara China amat dirasai warga dunia apabila permintaannya terhadap bahan bakar meningkat sekaligus menyebabkan harga minyak dunia turut melonjak.