Saturday, October 30, 2004

Grup Layar Samudera (Pulau Kokos) Selamat Berlepas

KLIA - Grup Layar Samudera (Pulau Kokos) telah selamat berlepas ke Bali pada hari ini jam 9.00 pagi tadi. Delegasi yang diketuai oleh Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa, 24, turut disertai oleh wakil tunggal Grup Jejak Warisan (Pulau Krismas) iaitu Huraizah Mohd Baharudin, 24. Delegasi ini akan transit di Bali dan Pulau Krismas sebelum bertolak ke Pulau Kokos.



Peserta delegasi yang lain ialah Raja Nurbaizura Raja Ibrahim, 22, Sanisah Hj. Sarnuji, 22, Khairil Nizam Md Daron, 23, dan Nor Azeera Mohd Ariffin, 21. Delegasi ini akan berada di kawasan projek bermula hari ini sehingga 21 November 2004. Tempoh sebulan dan pengalaman berhari raya di perantauan adalah satu dugaan yang mencabar bagi para peserta.

Penaung GPTD, En. Ahmad Azam Abdul Rahman, 43, telah memberikan amanat beliau kepada delegasi ini seminggu sebelum mereka bertolak.

"Kita melakukan kerja ini untuk manfaat orang lain. Kita bukan orang biasa yang hanya menyenangkan diri sendiri. Pengorbanan yang tinggi ini adalah jalan yang ditunjukkan Rasulullah," pesan beliau.

Hasil usaha dan keyakinan kepada kehendak Tuhan, mereka mampu mendapat tajaan daripada pelbagai pihak walaupun kesuntukan masa. Kesukaran dalam melaksanakan sesuatu projek adalah ciri tarbiyah GPTD bertujuan melahirkan para sukarelawan yang berdikari dan berdaya kreatif.

Delegasi ini turut diraikan di KLIA oleh ahli keluarga dan beberapa sukarelawan lain untuk memberikan sokongan dan semangat. Naib Presiden Antarabangsa PKPIM juga bersama penyelaras GPTD hadir memberikan dorongan dan bantuan serta menyatakan ucapan penghargaan dan pesanan kepada peserta delegasi.

"Kesungguhan yang ditunjukkan oleh wakil Kolej Darul Hikmah yang baru sahaja dilantik untuk bersama GPTD sudah menunjukkan tanda-tanda yang baik," kata Jufitir Joha, 24, penyelaras GPTD.

GPTD mendoakan supaya delegasi ini dapat melaksanakan tugasnya dengan baik dan perjalanan mereka dirahmati dan diberkati Allah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

0 comments: